Keunggulan Jenama Ashh&Annas

Di petik dari Utusan 18/06/2014
KAGUM dengan semangat dua beradik berjiwa usahawan ini dalam usaha meletakkan label fesyen mereka di pasaran.
Biarpun boleh dikatakan baru setahun jagung, label Ash & Annas sememangnya tidak perlu diperkenalkan kerana populariti jenama tersebut memang tersebar dengan meluas terutama di kalangan pengikut fesyen tegar di laman sosial.
Pemilik dan pengasas jenama tersebut yang hanya mahu dikenali dengan nama Annas Easkey dan Ashhry Attan berkata, mereka mempertaruhkan skirt potongan duyung sebagai produk utama jualan kerana yakin dengan permintaan skirt yang versatil di kalangan penggemar fesyen terutama golongan muda.
Kami lihat sudah terlalu ramai penjual tudung dan baju di pasaran laman sosial, jadi kami mahu kelainan dengan menampilkan skirt sebagai produk utama.
Kelebihan produk kami tentunya pada kualiti yang tidak boleh dikompromi bagi memastikan kepuasan maksimum pelanggan," jelas Annas penuh yakin.
Digelar pakar skirt oleh peminat fesyen online tempatan, setiap helai skirt Ash & Annas mengutamakan yang terbaik daripada pemilihan fabrik hingga kepada potongan dan jahitan.
Jenama tersebut bukan sahaja menampilkan potongan skirt duyung, malah pelbagai jenis skirt seperti potongan kembang, yang semuanya mengikut perkembangan dan cita rasa semasa.
Selepas bermula di instagram dan diterima dengan begitu baik, sejak tiga bulan lalu kami memulakan operasi butik pertama di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
Alhamdulillah setakat ini sambutan amat menggalakkan dan kami menerima kunjungan pelanggan dari seluruh Malaysia termasuk negara jiran seperti Brunei dan Singapura. Kami turut mendapat kunjungan pelancong dari Amerika Syarikat dan Arab Saudi.
Di instagram pula tidak keterlaluan jika katakan bahawa kami mempunyai pengikut paling ramai iaitu melebihi 135,000 orang.
Kelebihan mungkin dari segi kami melayan pelanggan dengan mesra dan efektif. Selain itu kami kerana mempunyai kilang sendiri yang menghasilkan skirt ini di Johor," ujar Annas lagi.
Fabrik yang digunakan bagi menghasilkan skirt di Ash & Annas adalah daripada syifon, lycra, renda dan ia dijual pada rangkaian harga RM60 hingga RM189.
Untuk koleksi premium ramai yang sudah memilikinya bagi digayakan pada hari raya nanti. Istimewanya skirt kami boleh dipadankan dengan baju kurung atau blaus mengikut kesesuaian.
Apa yang pasti pelanggan kami boleh memaksimumkan skirt ini dengan apa gaya dan apa jua acara," katanya yang menghasilkan sebanyak 6,000 skirt khas untuk hari raya ini.
Bagi mereka yang teruja mengetahui lebih lanjut tentang Ash & Annas bolehlah berjumpa mereka di Vendeur Festival yang bakal berlangsung di Kompleks Martrade di Jalan Duta, Kuala Lumpur, pada 12 hingga 13 Julai nanti.
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Feminin/20140618/fe_01/Keunggulan-Ash-Annas#ixzz53jTNR4wo
© Utusan Melayu (M) Bhd