Pada masa itu, penggunaan skirt labuh tidak begitu meluas sehinggakan ada yang mempertikaikan perniagaan yang dijalankannya.
Namun siapa sangka, skirt yang diilhamkan Annas Easkey menerusi label Ashh & Annas kini menjadi kegilaan terutama di kalangan pengikut tegar fesyen dalam laman sosial.
“Bagi saya, ini adalah cabaran berniaga. Saya buat tidak kisah dengan pandangan orang lain sebab saya rasa, tidak salah jual skirt kerana ramai juga lelaki yang jual pakaian wanita.
“Lagipun, saya tidak buat perkara yang salah kerana saya jual skirt berkonsepkan Muslimah,” katanya.
Menceritakan lanjut penglibatannya dalam bidang fesyen, Annas Easkey yang juga Pengarah Urusan Ashh & Annas berkata, semuanya bermula secara kebetulan apabila melihat sahabat baiknya, Mazlianul Maznan menceburi perniagaan fesyen.
“Ketika itu, saya bergerak sebagai jurugambar bebas. Namun bila lihat Mazlianul Maznan, saya rasa seronok tengok dia berniaga, ada pelanggan dan dia rasa gembira dengan kerjanya. Bila keluarkan barang pula, dia akan rasa puas hati dengan hasil kerjanya sendiri, selain dapat pendapatan yang bagus,” katanya.
Bermula daripada situ, Annas Easkey mula membuat kajian mengenai trend fesyen di Malaysia sebelum akhirnya memilih skirt sebagai barang yang ingin diniagakan.
“Kebetulan, saya graduan lepasan Ijazah Sarjana Muda Pemasaran daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM). Ketika itu, saya lihat trend di Malaysia ini lebih kepada pakaian Muslimah yang cenderung ke arah seluar, skirt labuh dan blaus.
“Saya tengok, sudah ramai orang buat tudung dan baju. Pada masa itu, saya lihat fesyen skirt ini belum lagi diketengahkan dan tidak banyak dikomersialkan. Jadi saya ambil peluang ini untuk menjalankan perniagaan jual skirt labuh,” katanya.
Buka kilang mini
Bermodalkan RM4,000, pada 2013, Annas Easkey membuka sebuah kilang mini di Kota Tinggi, Johor untuk menjahit skirt yang diilhamkannya.
“Saya beli mesin jahit dan mesin jahit tepi. Selebihnya, saya pakai mesin jahit sedia ada untuk mulakan perniagaan. Kebetulan, kakak saya, Mazlinda memang tukang jahit. Dialah tolong saya bersama dua pekerja jahit skirt Ashh & Annas.
“Kami mula dengan jahit skirt dalam kuantiti yang sedikit dan hanya keluarkan dua jenis rekaan skirt. Bermula dengan 100 helai, 200 helai dan 300 helai, kini jumlah itu semakin meningkat terutama pada musim-musim tertentu seperti perayaan,” katanya.
Annas Easkey mula menjual skirtnya menerusi laman sosial Instagram dengan pendekatan santai dan mesra untuk menarik minat orang ramai membeli skirtnya.
“Dalam Instagram, saya gelarkan diri saya sebagai ‘abang kawasan’ dan gunakan ayat yang dekat dengan pelanggan membuatkan mereka selesa dengan saya tidak kiralah lelaki mahupun wanita. Dengan cara itu, mereka lebih tertarik membeli produk saya,” katanya.
Akhirnya, Annas Easkey mula mengorak langkah dengan membuka sebuah butik di Kota Damansara, Petaling Jaya pada Mei 2013 kerana sambutan memberangsangkan diterima daripada pelanggannya di seluruh Malaysia.
“Sebelum ini, saya pernah jual skirt di bazar dan lihat ramai pelanggan membelinya. Setiap kali bazar, jualan skirt habis awal walaupun baru separuh hari dijual.
“Jadi kami ambil keputusan untuk buka butik sendiri. Alhamdulillah, sambutannya pun sangat bagus kerana pelanggan lebih selesa memandangkan mereka senang untuk merasa, memegang dan hendak melihat sendiri material yang digunakan,” katanya.
Beliau berkata, reka bentuk skirt yang dikeluarkan Ashh & Annas adalah hasil ilhamnya sendiri.
“Saya ikut apa yang saya rasa cantik dan selesa. Konsep skirt saya ini mementingkan keselesaan dan sesuai untuk Muslimah, tetapi ia juga sesuai dipakai oleh mereka yang tidak bertudung. Kebanyakan 90 peratus daripada pembeli saya adalah mereka yang bertudung
“Sekarang, saya mempunyai lebih 10 pekerja untuk menjahit skirt kami,” katanya.
Kini, skirt label Ashh & Annas mempunyai lebih 50 rekaan dengan pelbagai warna menarik dan dijual pada harga antara RM50 hingga RM150.
Antara skirt yang digemari pelanggan Ashh & Annas adalah mermaid skirt dan flared skirt.
Semua skirt itu bukan sahaja boleh didapati melalui laman sosial dan laman web, malah ia juga boleh dibeli daripada 50 stokis Ashh & Annas di seluruh Malaysia termasuk Singapura dan Brunei.
Ashh & Annas bakal membuka sebuah lagi cawangan butiknya di Seksyen 7, Shah Alam pada 28 Mac ini.
Mahu teroka pasaran luar negara
Pada tahun ini, Annas Easkey merancang untuk menembusi pasaran beberapa negara luar antaranya Amerika Syarikat (AS), Jepun, London dan Eropah.
“Pelanggan kami datang daripada pelbagai negara. Jadi, kami akan cuba usahakan untuk membawa label Ashh & Annas ke sana.
“Lagipun, saya memang ada ramai kenalan di negara tersebut dan rakan di agensi kerajaan. Saya akan tanya mereka untuk membantu saya mengembangkan perniagaan di luar negara,” katanya.
Menurutnya, buat masa ini, fokusnya lebih terarah untuk meningkatkan jumlah skirt yang dihasilkan bagi memenuhi permintaan pelanggan di semua stokisnya.
“Sasaran kami untuk menambah 100 hingga 200 stokis pada tahun ini. Bagaimanapun, kualiti skirt yang kami hasilkan akan tetap dititikberatkan walaupun kita tingkatkan pengeluarannya nanti.
“Untuk material skirt, saya memang pelanggan tetap Jakel sejak awal perniagaan lagi. Jakel sentiasa berikan saya kain-kain yang berkualiti terbaik,” katanya.
Bagi Annas Easkey, sebagai peniaga, perlu ada keikhlasan dalam diri supaya perniagaan yang diusahakan berjaya.
“Ibu dan bapa saya menjadi idola saya kerana mereka memang berniaga jual sayur sejak saya kecil lagi. Saya nampak bagaimana susah payahnya mereka berniaga untuk membesarkan kami adik-beradik.
“Mereka jadi sumber inspirasi saya dalam bidang perniagaan. Kalau hendak berniaga, kita jangan ada rasa iri hati dalam diri dan dengki sesama sendiri. Yang penting, jangan putus asa walaupun berdepan pelbagai cabaran dan sentiasa fokus dengan apa yang diusahakan,” katanya.